Tuesday, November 22, 2011

Istimewanya SUSU IBU......


Khasiat serta kandungan yang dimiliki di dalam susu ibu tidak perlu dipertikaikan lagi. Susu Ibu mempunyai nutrisi yang lengkap untuk bayi termasuk kandungan karbohidrat, lemak dan protein. Ia juga mempunyai segala khasiat seperti vitamin, mineral, hormon dan antobodi yang diperlukan oleh bayi untuk proses pembesaran.
Tuntutan agar ibu menyusukan anak turut tertulis di dalam Al-Quran, antaranya;

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan itu” – surah Al-Baqarah, ayat 233
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan.
(Surah Luqman : 14)
” Jika mereka menyusukan (anak-anakmu) untukmu, maka berikanlah pada mereka upahnya; dan mesyuaratlah di antara kamu (segala sesuatu dengan baik; dan jika kamu menemui kesulitan, maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya” – Surah At-thalaq, ayat 6
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.
(Surah al-Ahqaf: 15)
Ayat di atas menjelaskan bahawa pemberian susu ibu turut digalakkan dalam Islam. Sama ada kita sedar atau pun tidak susu ini sebenarnya mempunyai khasiat tersendiri dan banyak membantu tumbesaran bayi. Tiada apa yang membahagiakan ibu bapa apabila melihat anaknya sihat dan cerdas.



Penyelamat bayi
Hasil kajian UNICEF (The United Nations Children’s Fund) menunjukkan 7 cara yang paling berkesan untuk menyelamatkan kanak-kanak dari penyakit adalah dengan meningkatkan penyusuan susu ibu. Kesedaran melalui kempen nyata tidak memberi kesan apabila seramai 40,000 orang kanak-kanak dianggarkan mati setiap hari di negara- negara membangun kerana kekurangan zat.
Kadar kematian bayi dan kanak-kanak yang tidak menyusu badan pada usia 3 bulan pertama juga telah direkodkan meningkat 10 hingga 15 kali bagi negara membangun. Kebanyakan kes kematian ini dipercayai berpunca daripada penyakit cirit birit yang serius. Bahkan di negara barat seperti Amerika dan Eropah, banyak kes Sudden Death of Unknown Cause (Sids) atau Cot Death telah dilaporkan akibat daripada pengambilan susu botol.
Oleh demikian kempen penyusuan ibu amat digalakkan di negara mundur sebagai pilihan untuk tidak menyusu botol kerana sistem bekalan air di negara tersebut tidak bersih. Walaupun penyusuan botol di negara kita selamat dan terjamin, penyusuan ibu tetap yang terbaik.

Khasiat dan kebaikan susu ibu
Susu ibu merupakan makanan dan minuman terbaik untuk bayi terutamanya sejak lahir hingga bayi berusia enam bulan. Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang betul. Sebaik selepas melahirkan, susu pertama kental berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolostrum. Khasiatnya amat tinggi. Kandungan proteinnya tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa. Ia mengandungi antibodi yang tinggi serta lebih sel darah putih.
Kolostrum mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit, selesema dan radang paru-paru. Malah ia bertindak sebagai imunisasi pertama. Ibu-ibu digalakkan kerap menyusui ibu pada hari-hari pertama kelahiran bagi membekalkan kolostrum secukupnya pada bayi. Sesetengah ibu tidak mahu memberikan susu mereka pada bayi pada waktu ini kerana menurut mereka susu belum ada. Kekeliruan ini merugikan kerana bayi seharus mendapat kolostrum sebanvak mungkin.
Teknologi moden cuba meniru merumus susu formula agar menyamai susu ibu. Namun sehingga kini khasiat dan kebaikan yang terkandung di dalam susu ibu tidak dapat disamai apalagi untuk ditandingi.Antara kebaikan susu ibu adalah ia mengandungi zat makanan dalam nisbah yang betul dan isi kandungannya berubah mengikut keperluan bayi membesar. Komposisi zat dan vitaminnya sesuai dan mencukupi untuk bayi. Ia mengandungi enzim lipase yang menghadamkan lemak.
Susu ibu bersih dan bebas bakteria. Selain itu ia mengandungi anti jangkitan yang melawan pelbagai jangkitan penyakit. Antaranya sel darah putih hidup (leucocytes) yang membunuh bakteria. Antibodi (immunoglobulins) mampu menentang jangkitan penyakit biasa sehinggalah bayi berupaya membentuk antibodinya sendiri. Sekiranya si ibu mempunyai jangkitan, antibodi yang dapat melawan jangkitan tersebut akan hadir di dalam susu ibu.


Kita kerap melihat bayi kecil menangis tanpa henti berjam-jam lamanya. Besar kemungkinan perutnya kembung. Sekiranya bayi menyusui ibu sepenuhnya pada usia tiga bulan, masalah ini dapat diatasi. Ini kerana terdapat bahan dinamakan bifudus factor membantu bakteria istimewa Lactobasillus bifidus membiak dan menentang bakteria yang menyebabkan diare atau cirit-birit. Selain diare, susu ibu berjaya menentang jangkitan penyakit biasa seperti enzema, lelah dan sembelit.
Susu ibu tersedia bila-bila masa pada suhu badan dan sentiasa steril. Susu tepung akan masam selepas beberapa jam tetapi susu badan tidak pernah rosak walaupun bayi tidak menyusu beberapa hari. Kebaikan susu ibu bukan sekadar menjadi penawar dan bertindak sebagai tembok menghalang penyakit malah ia mampu meningkatkan kecerdasan otak bayi. Dua kajian terbaru Cambridge di England dan Flinders Australia membuktikan bayi yang disusui badan, kecerdasan IQnya mampu mencecah tahap tujuh hingga 10 mata melebihi IQ biasa.
Dan kajian dari Holland menunjukkan susu ibu mengandungi Asid Docosahexanoic dan Asid Arachidonic yang tidak diperolehi dalam susu tiruan berguna untuk pertumbuhan sistem tumpuan nervous.






Source: Majalah Wanita


Nah...betulkan..SUSU IBU ISTIMEWA...Saya tak cakap susu formula
tak bagus..Tapi susu ibu itu adalah hak anak, so wajarlah kita
berikan pada yang berhak kan..Bagi saya, saya akan cuba untuk
menyusukan Arissa hingga usianya 2 tahun.Insyaallah...Saya pasti
semua ibu-ibu hendakkan yang terbaik untuk anak-anak kan?
Makanan terbaik..Sekolah terbaik..Baju terbaik...SUSU TERBAIK...



Di sini saya dapat buat kesimpulan yang SUSU IBU:
1.Susu Ibu Istimewa kerana mengandungi semua khasiat dlm
imbangan yang betul.
2.Susu Ibu Istimewa kerana kolostrom @ susu awal ibu yang
mempunyai antibodi yang tinggi.
3.Susu Ibu Istimewa kerana bersih dan bebas bakteria-tak payah nak
steril2
4.Susu Ibu Istimewa kerana tersedia bila-bila masa-tak payah nak
masak air panas bagai...
5.Susu Ibu Istimewa kerana boleh mengurangkan colic
6.Susu Ibu Istimewa kerana meningkatkan kecerdasan bayi











So kawan-kawan..Choice is on your hand ;)


Bayi susu ibu!!!

No comments:

Post a Comment